Ahli PR1MALAYSIA

Tanaman Pisang


PANDUAN MENANAM PISANG

PANDUAN MENANAM PISANG - MUSA PARADISIACA L.
(Tanaman Jangka Pendek dan Sederhana)
1.       PENGENALAN:

Nama saintifik         :  Musa paradisiaca L.
Nama tempatan       :  Pisang
Keluarga                 :  Musaceae

Pisang yang boleh dimakan berasal dari M. accuminata Colla dan M. balbisiana Colla.  Pisang masak boleh dimakan segar atau diproses menjadi berbagai-bagai produk seperti puri, hirisan dalam sirap atau buah koktel, pisang kering atau salai, makanan bayi, kerepek, keropok, jem, jeli, serbuk, minuman dan juga cuka.  Pemerosesan buah pisang di peringkat matang terhad kepada pengeluaran produk kerepek dan tepung pisang.

2.       VARIETI PISANG
Terdapat beberapa jenis pisang iaitu:-

·         Pisang Berangan
Mula mendapat pasaran meluas.  Kebanyakan memilih berangan sebagai makanan pisang segar.  Berat setandan ialah 12-22 kg, mempunyai 8-12 sisir dengan setiap sisir mempunyai 12-20 jejari.  Panjang jejari diantara 12-18 cm dengan garis pusat 2.5 - 3.5 cm.  Buah bersaiz sederhana hingga besar, berwarna kuning oren dan sangat menarik apabila masak sepenuhnya.  Kulitnya agak tebal, mudah dikupas dan meninggalkan sedikit talian serabut setelah dikupas.  Isi buah pejal, berwarna kekuningan hingga oren, berbau wangi dan manis rasanya.

·         Pisang Mas
Berat lebih kurang 12 kg, mempunyai 5-9 sisir setandan dan 14-18 jejari bagi setiap sisir.  Panjang jejari ialah 8-12 cm dan 2-3 cm garis pusat.  Kulit nipis dan berwarna kuning keemasan.  Isi pejal, berwarna kuning keemasan, berbau harum kewangian dan sangat manis. Pokok Pisang Mas (PMas) boleh ditanam dengan cara mengubah anaknya. Jarak tanaman anak Pmas yang ideal ialah 10 kaki X 10 kaki.Ditanam dalam bentuk barisan. Apabila ia menjadi perdu, maka perdu yang ideal ialah dengan menyimpan 3 hingga 4 pokok seperdu, termasuk anak. Anak Pmas yang kurang subur hendaklah di pangkas. Ini akan memaksimumkan kualiti buah pisang yang akan diperolehi. Ia juga bertujuan untuk mengelakan dari pokok yang tidak berkualiti memakan baja. Untuk tanaman komersil, saliran air hujan hendaklah lancar dan tidak bertakung. Pmas alah kepada air bertakung. Jika anda dapati daun pisang yang belum matang kelihatan seperti terbakar, itu adalah petanda bahawa dibawah tanah ada takungan air. Jika air bertakung lebih dari dua malam, daunnya akan jadi layu kekuningan dan akhirnya kecut kelihatan seperti terbakar.

·         Pisang Cavendish
Mula diusahakan secara komersil dan kebanyakan hasilnya dieksport.  Jenama dagangan seperti Gros Michel, Grand Naine dan lain-lain terkenal di Filipina atau Australia.  Di Malaysia, jenama seperti Montel, Comel, Cabana atau Sun King Banana juga merupakan kultivar Cavendish.  Berat setandan ialah 25-40 kg dan mempunyai 15-25 sisir bagi setiap tandan. Jejari berukuran diantara 15-22 cm panjang dan garis pusat 3.5 - 4.0 cm.  Kulit buah adalah tebal dan mudah tanggal dari sisirnya.  Isinya berwarna putih pekat, bertekstur halus dan lembut, berbau wangi dan manis rasanya.

·         Pisang Embun
Ditanam untuk hidangan segar.  Berat setandan antara 20-40 kg dan mempunyai 10-25 sisir bagi setiap tandan dan 14-25 jejari bagi setiap sisir.  Panjang jejari ialah 15-20 cm dan besar diantara 3.5 - 4.0 cm garis pusat.  Kulit buah licin dan berwarna kuning apabila sudah masak.  Isinya berwarna krim, sederhana pejal, berbau sedikit harum dan rasanya manis. Pisang Embun merupakan sejenis pisang yang ditanam bagi mendapatkan buahnya. Nama sains pokok Pisang Embun ialah Musa acuminata Colla (AAA Group) cv. 'Ambon Putih'. Di Filipina ia dikenali sebagai Ambon, di Indonesia ia dikenali sebagai Pisang Ambon Putih. Pokok Pisang tidak mempunyai batang berkayu, tetapi sebaliknya ia terdiri dari gentian. Terdapat 2 jenis pisang Embun yang bewarna merah dan kuning apabila masak. Pokok Embun biasanya ditanam bagi mendapatkan buahnya kerana buahnya yang besar dan sedap digemari ramai dan boleh dimakan mentah. Tetapi buahnya tidak tahan lama dan perlu dimakan dengan cepat sebelum menjadi isinya menjadi lembik.

·         Pisang Rastali
Digemari sebagai pisang sajian segar.  Berat setandan antara 10-18 kg dengan 5-9 sisir setiap tandan.  Setiap sisir mempunyai 12-16 jejari.  Panjang jejari 10-15 cm dan 3-4 cm garis pusat.  Kulit buah sangat nipis tetapi mudah dikupas, berwarna kuning terang setelah masak.  Isi buah lembut dan berwarna putih, rasanya manis dengan sedikit rasa masam dan kelat jika belum masak sepenuhnya.

·         Pisang Lang
Sesuai digoreng.  Berat setandan ialah 7-10 kg dan terdapat 2 sisir bagi setiap tandan dengan 7-10 jejari bagi setiap sisir.  Jejari ukuran 25-35 cm panjang dan 6-7 cm garis pusat.  Kulitnya tebal dan berwarna kuning setelah masak.  Isi buah berwarna krim dan bertukar kepada warna oren setelah masak digoreng.  Rasanya manis dan enak dimakan.

·         Pisang Nipah
Hanya sesuai untuk digoreng.  Berat setandan ialah antara 15-28 kg dengan 12-18 sisir dan setiap sisir terdapat 12-20 jejari.  Panjang jejari diantara 10-15 cm dan besar 3-5 cm garis pusat.  Jejari bersegi, pendek dan padat.  Kulit buah tebal dan berwarna kuning setelah masak.  Isi berwarna krim putih dan bertekstur halus.  Setelah digoreng manis rasanya.  Pisang nipah juga disebut pisang kapok. Pisang Nipah merupakan sejenis pisang yang dituai dari pokok Pisang. Pisang Nipah biasanya ditanam bagi mendapatkan buahnya. Nama sains pokok pisang Nipah ialah Musa acuminata balbisiana cultivars (BBBc). Buah pisang Nipah ini biasanya tidak dimakan begitu sahaja. Ia biasanya dijadikan pisang goreng.

·         Pisang Raja
Boleh dimakan segar atau dimasak untuk sajian.  Berat setandan ialah 10-15 kg dengan 6-9 sisir dan setiap sisir terdapat 12-16 jejari.  Panjang jejari 15 cm dan 3-4 cm garis pusat.  Kulit buah tebal, berwarna kuning setelah masak dan mudah dikupas.  Isinya berwarna krim oren dan bertekstur kasar.

·         Pisang Nangka
Berat setandan 12-14 kg dan mempunyai 6-8 sisir.  Setiap sisir mempunyai 14-24 jejari.  Jejarinya bersegi dan memanjang dengan saiz jejari sederhana hingga besar.  Isinya krim putih bertekstur halus, lembut dan masam-masam sedikit rasanya.  Pisang nangka tahan disimpan.
  
·         Pisang Awak
Sesuai untuk dimakan segar atau dimasak sebagai sajian.  Berat setandan 18-22 kg dan mempunyai 8-12 sisir.  Setiap sisir mempunyai 10-16 jejari.  Panjang jejari ialah 10-15 cm dan besarnya 3-5 cm garis pusat.  Kulitnya tebal dan isinya putih keras dan melekit.  Kadangkala kultivar ini mempunyai biji. 

·         Pisang Putar
Pisang Putar merupakan sejenis pisang yang sedap dan boleh dimakan begitu sahaja, atau dijadikan kuih.

·         Pisang Serendah
Pisang Serendah merupakan jenis pokok Pisang yang ditanam bagi buah dan daunnya. Nama sains pokok Pisang Serendah ialah Musa acuminata Colla (AAA Group) cv. 'Dwarf Cavendish'. Ia juga dikenali sebagai Musa acuminata Colla (Cavendish Group) cv. 'Dwarf Cavendish', Musa x paradisiaca L. cultigroup Dwarf Cavendish, Musa cavendishii Lambert & Paxton var. nana. Pokok Pisang tidak mempunyai batang berkayu, tetapi sebaliknya ia terdiri dari gentian. Pokok Pisang serendah biasanya mempunyai daun yang lebar dan tahan (tidak mudah koyak). Oleh itu pokok pisang Serendah sering ditanam bagi mendapatkan daun pisang yang mempunyai banyak kegunaan. Buah pisang Serendah boleh dimakan tetapi kurang digemari ramai. Oleh itu penanaman pokok pisang Serendah kebiasaannya adalah untuk daunnya berbanding bagi mendapatkan buahnya. Buah Pisang Serendah ini biasanya dimakan begitu sahaja.

·         Pisang Tanduk
Pisang Tanduk merupakan sejenis pisang yang bersaiz besar dan dengan bentuknya menyebabkan ia diberi nama pisang tanduk. Pisang Tanduk sedap digoreng.

Di antara pisang yang boleh di makan segar ialah seperti Pisang Berangan, Cavendish dan Rastali.  Pisang yang biasa di masak atau diproses adalah seperti Pisang Nangka, Pisang Raja, Lang, Relong, Tanduk, Nipah dan Pisang Awak.

3.       PANDUAN MENANAM :

Iklim dan tanah:
Keadaan panas dan lembap adalah paling sesuai untuk tanaman pisang.  Ia boleh ditanam di atas jenis tanah yang dalam, ringan serta rata.  Secara umumnya, suhu optimum antara 25oC-30oC sesuai untuk tanaman pisang.  Suhu yang rendah akan memberi kesan yang negatif kepada pertumbuhan batang, daun dan melewatkan kematangan pokok.  Jangan tanam di atas tanah yang bertakung air.

Tanah bertekstur lempung berpasir dan keadaan tanah adalah peroi sesuai untuk pisang.  Keadaan permukaan tanah yang sesuai hingga beralun iaitu kecerunan kurang 12%.  Pisang tidak sesuai ditanam di tanah yang mempunyai halangan terhadap pertumbuhan akar seperti tanah padat, lapisan batu, paras air tinggi, gambut dan lapisan asid.

Untuk pertumbuhan yang baik, pokok pisang sangat memerlukan cahaya yang terbuka.  Jika terdapat naungan, pertumbuhan batang palsu akan berlarutan dan pokok bertambah tinggi.  Tempoh kematangan juga akan berlarutan dari keadaan biasa.

Suhu yang terlalu tinggi serta pendedahan cahaya yang berpanjangan akan mengakibatkan kelecuran pada buah.  Tiupan angin turut mempengaruhi pertumbuhan pokok.  Angin yang kuat boleh merosakkan daun dan mematahkan pucuk serta merendahkan mutu hasil buah.  Penanaman pisang tidak digalakkan di kawasan yang terdedah kepada tiupan angin melebihi 15 km/jam.

Bahan tanaman:
Ada tiga jenis sulur untuk digunakan sebagai bahan tanaman:-

Sulur Dara     - Akar-akar sudah terbentuk
Sulur Pedang -Tegap, Subur dan baik untuk dijadikan benih.
Sulur Payung - Umbi Kecil dan Lebar, Akar dan Batang lemah.

Sistem Penanaman:
·         Tanaman Tunggal
Diusahakan untuk pengeluaran secara komersil dan bekalan berpanjangan.  Jarak tanaman ialah 2.5 m x 2.5 m dengan kepadatan 1,600 pokok sehektar.  Pada jarak 3 m x 3 m kepadatan mencapai 1,100 pokok sehektar.

·         Tanaman Selingan
Pisang ditanam bersama tanaman kekal, seperti getah, kelapa sawit, koko dan durian sebagai tanaman selingan sebelum pengeluaran hasil daripada tanaman utama.  Sebaris pisang dengan jarak 3 m x 3 m dengan kepadatan 700-900 pokok sehektar dapat ditanam antara barisan kelapa sawit atau pokok getah dan juga pokok buah-buahan yang bersesuaian.

Gali lubang sebesar 45 cm x 45 cm x 60 cm (1.5 x 1.5 x 2 kaki).  Gaul tanah lapis atas dengan 11-14 kg. baja organan dan 125 gm baja fostat.  Jarak tanaman ialah antara 3 m x 3 m hingga 3.6 m x 3.6 m.

Pembajaan:
Pembajaan dilakukan secara ditabur sekeliling pokok atau dimasukkan ke dalam parit yang digali sedalam 5 cm.  Pembajaan menggunakan sistem poket juga biasa digunakan.  Poket atau lubang sedalam 15 cm digali sejauh dalam lingkungan semeter daripada pangkal rumpun atau pokok pisang.

Dalam sistem tanaman pisang secara tunggal, adalah disyorkan pisang ditanam dengan kaedah sistem tanaman berbatang tunggal atau single stem kerana sistem ini sesuai bagi pekebun pisang yang mementingkan berat tandan dan kualiti buah khususnya untuk eksport.  Dalam sistem berbatang tunggal ini, hanya pokok induk dibiar tumbuh dari mula hingga peringkat berbuah (satu generasi sahaja).  Anak-anak sulur yang tumbuh dibuang semuanya bermula pada 3-4 bulan selepas menanam dan diulangi membuangnya setiap 6-8 minggu sekali sehingga permulaan musim menuai.  Apabila 60% keluasan kawasan telah dituai, pemangkasan menyeluruh dilakukan untuk memilih satu anak sulur sahaja pada setiap rumpun untuk dijadikan ratun dan yang selebihnya dibuang.  Pemilihan pokok ratun ini adalah berdasarkan kepada ketinggian sulur (70-100 cm) dan yang didapati tumbuh di umbisi utama.

Sementara itu sistem yang sesuai bagi tanaman selingan adalah seperti dihuraikan dalam pemangkasan sulur atau dengan mengguna kaedah sistem berbatang dua.  Sistem ini bermaksud pada setiap masa serumpun pisang mempunyai dua batang pokok iaitu pokok yang akan berbuah dan anak sulur. Dalam sistem ini sulur yang dipilih adalah ketika pokok induk mula mengeluarkan bunga iaitu 8 bulan selepas ditanam bagi pisang berangan dan 6-7 bulan bagi pisang mas.


Program Pembajaan Tanaman Pisang
Bulan selepas
tanam
Jenis baja
Pisang Mas
Kadar pembajaan
(g/pokok)
Pisang Berangan, Rastani, Cavendish
(g/pokok)
Semasa tanam
CIRP
8:8:8
GML
100
60
100
100
60
60
1
2
3
4
5
6
9
15:15:15
15:15:15
15:15:15
15:15:15
15:15:15
15:15:15
15:15:15
60
100
100
150
150
100
50
100
150
150
150
150
75
250
12
!2:12:17:2
15:15:15
150
-
-
250
13
!5
GML
15:15:15
1000
150
1000
200
18
12:12:17:2
15:15:15
180
-
-
250
21
12:12:17:2
15:15:15:
MOP
180
-
50
-
300
100
24
12:12:17:2
15:15:15
180
-
-
400
CIRP - Christmas Islands Rock Phosphate
MOP  - Muriate of Potash
GML   - Ground Magnesium Limestone


Pengurusan Air:
Pokok pisang  memerlukan air di antara 1500-2500 mm/tahun atau 8-12 liter sehari.  Biasanya pisang tidak dibekalkan dengan pengairan tetapi ia mendapat bekalan air dari simpanan dalam tanah atau dari air hujan.  Pemasangan sistem pengairan untuk tanaman pisang melibatkan kos yang tinggi.  Sistem pengairan boleh dilaksanakan sekiranya permintaan pasaran pisang yang banyak dan pulangan yang boleh menguntungkan.  Namun begitu tanaman pisang dikatakan tidak dapat bertahan dalam keadaan terendam yang melebihi 24 jam.

Pemangkasan Sulur:
Aktiviti membuang sulur yang tidak dikehendaki dengan tujuan menjarakkan penuaian hasil dalam satu-satu rumpun serta memastikan hasil dan mutu buah tidak terjejas akibat persaingan dalam permakanan.  Pemangkasan peringkat awal dilakukan dengan memilih dan membiarkan satu pokok induk dan satu sulur, di peringkat pokok berumur 3 bulan bagi pisang emas dan 4 bulan bagi pisang berangan.  Seterusnya sulur-sulur lain dipangkas secara berjadual iaitu 3-4 minggu sekali dan dipilih serta dikekalkan satu lagi sulur pada umur 8 bulan bagi pisang emas dan 9 bulan bagi pisangan berangan.  Cara pemangkasan yang mudah ialah menggunakan pisau tajam untuk memotong sulur pada aras tanah.

Cantasan Pelepah:
Pelepah tua dan berpenyakit perlu dicantas dengan menggunakan pisau tajam dari peringkat awal penanaman.  Pelepah tersebut perlu dikumpulkan di suatu lokasi yang ditentukan diantara barisan tanaman pisang.

Menyokong Pokok:
Pokok yang condong perlu ditongkat dengan kayu atau buluh untuk menahan pokok pisang daripada tumbang atau patah tengkok kerana batang tidak dapat menampung buah yang berat.

Pembungkusan Tandan Pisang:
Langkah awal untuk mengawal mutu buah pisang ialah dengan membungkus tandan pisang.  Pembungkusan dapat mengelak gigitan serangga pada buah, geseran dengan daun atau kayu penyokong.  Juga dapat mengelak buah dari calar atau lebam semasa penuaian, pengumpulan dan seterusnya pengangkutan ke rumah pembungkusan.

Sebelum pembungkusan, jantung perlu dipotong terlebih dahulu.  Tandan buah dibungkus dengan menyarung sehingga melepasi sisir utama dan diikat kemas.  Pada penghujung tandan dibiarkan sarung plastik berlebihan menutupi kesemua sisir pisang. Penandaan perlu dibuat selepas pembungkusan supaya tarikh penuaian dapat ditentukan semasa penebangan.

Kutipan Hasil:
Pisang akan berjantung dalam masa 7-10 bulan selepas ditanam.  Pisang Mas biasanya mengambil masa enam hingga tujuh bulan untuk berjantung dan buah boleh dikutip lapan minggu kemudian.  Pisang Berangan pula berjantung anggaran sembilan bulan selepas menanam dan buah boleh dikutip dalam masa 11-12 minggu kemudian.  Bagi mengelakkan buah tercedera, tebang pokok pisang kira-kira 0.5 meter dari tandan buah.  Potong sedikit-sedikit, sementara sebelah tangan   lagi memegang tandan pisang agar buah tidak terhempas di tanah.

1.       PENYAKIT TANAMAN PISANG:

·         Bintik-bintik Daun atau Penyakit Sigatoka
Bintik-bintik daun atau sigatoka kuning adalah disebabkan oleh kulat Mycosphaerella musicola atau Cercospora musae (peringkat konodia) manakala Mycosphaerella fijinensis pula dikenali sebagai Sigatoka hitam.  Kulat ini senang membiak di kawasan yang lembab dan mempunyai sistem saliran yang kurang baik.  Keadaan taburan hujan yang tinggi juga menggalakkan pembiakan kulat ini.  Serangan berlaku pada daun yang matang.  Daun akan menjadi perang dan kering dan dari jauh pokok kelihatan seperti terbakar.

Serangan teruk pada peringkat pokok pisang sedang berbuah menyebabkan bilangan daun atau keluasan daun hijau yang berfungsi berkurangan seterusnya mengakibatkan saiz buah dan bilangan sisir buah berkurangan.  Buah muda tidak akan masak dan buah yang matang akan masak lebih awal dan mutunya terjejas.  Serangan pada peringkat pokok muda boleh mengakibatkan pokok akan mati.

Syor Kawalan:
o   ladang hendaklah bersih dan mempunyai saliran yang sempurna.
o   buang sulur yang tidak dikehendaki dan daun yang diserang Sigatoka.
o   pembajaan dilakukan dengan secukupnya.
o   sembur racun kimia yang disyorkan setiap 10 hari sekali.
o   racun kulat yang digunakan adalah mancozeb, benomyl, tridemorph, propiconazole,
maneb dan thiophnate-methyl.  Sedikit campuran minyak seperti Orchex dicampurkan dalam bancuhan boleh membantu melanjutkan kekesanan racun kulat tersebut.

·       Penyakit Layu Panama
Penyakit ini disebabkan oleh kulat Fusarium oxysporium f.sp. cubense ras no. 1 yang mudah menyerang pada pisang Rastali dan Embun.  Pisang Emas dan Berangan rintang terhadap penyakit ini.  Kulat ini akan memasuki  akar pisang melalui tebukan dan kerosakan bermula disebabkan serangan nematod atau luka pada bahagian akar.  Pembiakan kulat seterusnya berlaku di dalam saluran sistem pemakanan pisang tersebut terutama di bahagian umbisi.  Akibatnya saluran makanan tersumbat dan mengganggu pengaliran air dan zat makanan.

Tanda-tanda serangan pada peringkat pokok muda ialah pucuknya yang masih bergulung kelihatan layu dan mati.  Bagi pokok tua, pucuk juga akan kelihatan kekuningan dan disamping itu daun-daun lain kelihatan patah terkulai.  Tandan buah juga menghadapi masalah yang sama dan kering. Pokok-pokok yang diserang selalunya mengeluarkan banyak anak tetapi kelihatan layu.

Syor dan Kawalan:
·            kebersihan kebun hendaklah sentiasa dijaga.
·            gunakan sulur yang sihat dan tanam mengikut jarak yang disyorkan.
·            sistem saliran kebun yang baik.
·            setakat ini belum ada kawalan kimia yang berkesan untuk mengawal penyakit ini.
·            pokok yang diserang hendaklah ditebang dan dimusnahkan dengan segera.

·      Penyakit Moko Pisang
Simptom/Tanda :

1.       Tisu vaskular menjadi perang atau kehitaman
2.       Terdapat ooze bakteria apabila batang/ rhizom pokok pisang dipotong
3.       Buah hitam dan reput
4.       Buah pisang masak tidak seragam.Pengurusan bersepadu adalah penting untuk mengawal penyakit moko pisang. Langkah-langkah kawalan adalah seperti berikut: 
·         Laksanakan amalan pertanian baik dan pengurusan ladang yang baik.
·         Musnahkan segera pokok yang dijangkiti dan pokok-pokok berdekatan dalam lingkungan 5 – 10 meter diameter.
·         Basmi kuman semua peralatan ladang dengan larutan formaldehye 10 %.
·         Lakukan pemantauan ladang dan pengesanan awal kejadian serangan penyakit 
·         Kuarantinkan kawasan serangan- Kawasan yang diserang akan dibiarkan rang (fallowing) selama 18 – 24 bulan untuk mengurangkan inokulum bakteria dalam tanah dan dipagarkan sekeliling kawasan serangan untuk mencegah jangkitan patogen ke kawasan /pokok yang berhampiran.

2.       PEROSAK TANAMAN PISANG:
Program kawalan penyakit dan perosak hendaklah dijalankan dari peringkat awal penanaman sehingga ke peringkat penuaian hasil. Kebersihan ladang, cantasan daun berpenyakit dan tua, pembinaan saliran dan pembungkusan tandan buah adalah aktiviti yang perlu dijalankan bagi mengurangkan kos kawalan penyakit dan perosak. Antara penyakit utama yang menyerang pisang ialah Bintik Daun Sigatoka (Mycosphaerella sp), Penyakit Layu Panama (Fusarium oxysporium) dan Penyakit Bintik Daun Cordana (Cordana musae). Manakala  perosak utama tanaman adalah Pengorek Umbisi Pisang (Cosmopolites sordidus germ), Kumbang Pengorek Batang Pisang (Odoiporus longgicolis, Oliv, Ulat Gulung Daun (Erionate thrax) dan ialah lalat Buah (Bactocera musae).

·         Pengorek Umbisi Pisang (Cosmopolites sordidus Germ)
Peringkat larva mengorek di bahagian umbisi dan pangkal batang yang berhampiran dengan tanah.  Ia tidak menyerang pada akar.  Tisu-tisu di sekeliling lubang yang dikorek akan menjadi perang dan busuk.  Serangan teruk menyebabkan daun-daun menjadi kuning dan pokok mudah tumbang.  Sulur bahagian tengah terbantut.  Anak pokok yang diserang akan mati jika serangannya merebak sehingga ke bahagian pucuk.  Pokok yang diserang akan mengeluarkan tandan buah yang lebih kecil dari saiz biasa.

Kawalan:

Cara Kultura:
Guna sulur yang sihat sahaja sebagai bahan tanaman.  Jalankan rawatan dengan cara memotong di sekeliling umbisi dan celup dalam air panas bersuhu 55oC selama 5-10 minit.

Pemasangan Perangkap
Batang pisang tua yang dipotong-potong 2-3 kaki dibelah dan ditelungkupkan.  Kumbang-kumbang akan bersembunyi di bawah belahan batang pisang tersebut.  Pungut kumbang tersebut dan musnahkan.

Cara Kimia
Siram dengan bancuhan racun Dieidrin pada kadar 0.1% a.i. di pangkal pokok pisang yang diserang dan permukaan rhizom yang dipotong ketika membuang sulur.  Celupkan sulur-sulur ke dalam larutan bancuhan racun Dieldrin dengan kadar 0.1% a.i.

·         Kumbang Pengorek Batang Pisang (Odolporus longicollis Oliv)
Menyerang dengan memakan tisu-tisu batang pisang dan bahagian tengah batang membentuk alur-alur panjang.  Bahagian yang diserang akan berubah warna coklat dengan cepat.  Daun menjadi kuning dan batang pisang mudah patah apabila ditIup angin kencang.  Peringkat dewasa juga boleh melakukan kerosakan.

Syor dan Kawalan:
o   buang dan musnahkan semua batang-batang yang ditebang dan sulur yang diserang
o   tanam sulur-sulur yang bebas dari serangan perosak ini
o   sembur racun serangga Dieldrin dengan kepekatan 0.1% pada pangkal batang pisang yang diserang

 
·         Ulat Gulung Daun (Erionota thrax)
Selalu menyerang pada semua jenis pisang.  Serangan teruk boleh mengakibatkan daun menjadi kering dan pokok terencat.  Serangga ini bertelur sebiji-sebiji pada daun muda.  Setelah menetas larvanya bersembunyi dengan cara menggulungkan daun ke arah tulang daun.  Larvanya cergas pada waktu malam, keluar dari gulungan daun untuk makan daun pisang.  Ia menggulungkan daun dan melekatkan dengan menggunakan bebenang putih.  Di waktu siang ia bersembunyi di dalam gulungan daun.  Jika gulungan daun ini terbuka, larva atau kepompong akan terdedah.  Daun yang bergulung akhirnya kering dan tidak berfungsi.

Syor-syor Kawalan:
·         pungut dan musnahkan larva
·         serangga pemangsa semulajadi atau parasit dapat memusnahkan telur serangga

·      Lalat Buah
Menyerang buah yang masak.  Larvanya akan merosakkan buah dan tidak boleh disimpan lama dan dipasarkan.  Tanda-tanda buah yang telah diserang apabila masak atau berwarna kuning terdapat bintik-bintik hitam bekas tusukan ovipositor semasa lalat buah dewasa bertelur.

·      Nematoda
Menyerang pada bahagian akar pisang.  Biasanyanya berlaku pada tanaman pisang generasi kedua.  Kerosakan lebih lazim berlaku di tanah peroi daripada di tanah berat.  Akar yang diserang kelihatan tompok-tompok hitam.  berbintil-bintil dan pecah terutama dekat bahagian umbisi dan menjadi reput.  Serangan dan kerosakan pada akar boleh membawa kesan yang serupa dengan kekurangan air.  Pokok yang belum berbuah bahagian tepi daun kelihatan kering manakala pokok yang berbuah serangannya mengakibatkan saiz tandan kecil, buahnya kering dan menjadi keras serta hitam semasa muda lagi.  Pokok yang diserang ini mudah diserang oleh kulat Rhizoctonia solani dan Fusarium oxysporium yang akan menambahkan lagi kerosakan pada akar seterusnya pokok pisang akan mati.

Syor Kawalan:
·         gunakan sulur yang sihat, bersihkan akar-akar umbisi dan lakukan rawatan dengan merendam dalam air bersuhu 55oC selama 10 minit.
·         musnahkan batang-batang pisang yang lama dan pokok-pokok pisang yang diserang nematod.
·         tabur dengan racun kimia bagi kawalan nematod seperti Fenamiphos dengan kadar 20g/pokok atau Carbofuran (Furadan 3G) dengan kadar 100g/pokok, kekerapan menabur 4 kali setahun.
·         semua buah pisang hendaklah dibungkus dengan plastik pada peringkat muda.  Masa yang sesuai pembungkusan ialah setelah buah sisir terakhir terbentuk dianggarkan 10-14 hari selepas berjantung.

Potong jantung dan biarkan lelehan getahnya kering, semburkan racun klorpirifos pada kadar 0.04% a.i. untuk mengawal kutu trip dan bungkus dengan plastik yang telah dilubangkan.

·         Kutu Trips
Apabila populasinya tinggi ia boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian kulit pisang.  Kulit pisang akan berkeruping dan proses kematangan pisang terganggu.

Syor kawalan:

suntikan racun serangga seperti klopirifos dengan kadar 0.1% a.i., diazinon dengan kadar 0.1% a.i. atau deltamethrin dengan kadar 0.1% a.i. pada jantung pisang.

·         Rumpai
Kawalan rumpai dilakukan dengan cara manual (menggunakan cangkul, tajak atau mesin sandang) atau kimia.  Sungkupan dengan menutupkan kawasan keliling pokok pisang yang menggunakan lalang, rumput kering, batang dan daun pisang boleh juga mengawal rumpai.  Secara kimia rumpai dikawal dengan racun seperti paraquat, glifosat dan glufisonat-ammonium.

3.       INDEKS KEMATANGAN BUAH PISANG

         Indeks 1      -              Hijau tua keseluruhan.  Buah belum matang untuk dituai.
        
         Indeks 2      -              Hijau dengan sedikit kuning.  Buah matang, sudah sesuai dituai untuk
                                            penghantaran jauh menggunakan kapal laut.
        
         Indeks 3      -              Lebih hijau daripada kuning.  Buah matang, tidak sesuai dituai untuk
                                            penghantaran jauh menggunakan kapal laut.
        
         Indeks 4      -              Lebih kuning daripada hijau.  Buah hampir masak.  Hanya sesuai untuk
                                            pasaran tempatan.
        
        Indeks 5      -              Kuning dengan sedikit hijau pada hujung buah.  Buah masak, hanya                                 
                                           sesuai untuk pasaran tempatan.
        
        Indeks 6      -              Kuning keseluruhan.  Buah masak.  Hanya sesuai untuk pasaran 
                                           tempatan. Peringkat terbaik untuk dimakan segar.
        
       Indeks 7      -              Kuning jingga.  Buah terlalu masak.  Hanya sesuai untuk pasaran 
                                          tempatan dan jangka hayat amat singkat.

      Hasil pisang bergantung pada pemilihan kawasan, kultivar, pengurusan di ladang sehinggalah siap     
      pembungkusan dibuat.  Faktor cuaca yang sesuai dan tanah yang subur juga menyumbangkan  
      pengeluaran yang menguntungkan.



Anggaran Hasil Tanaman Pisang
Jenis Pisang
Jarak Tanaman
Bil.Pokok Sehektar
Hasil/Pokok (kg)
Jumlah
Hasil Sehektar (MT)



Pokok Induk
Ratun 1
Ratun 2
 Berangan
 Mas
 Rastali
 Cavendish
3 m x 3 m
2.5 m x 2.5 m
3 m x 3 m
3 m x 3 m
1,100
1,600
1,100
1,100
22
12
18
40
18
10
15
32
12
8
10
25
52
30
45
97
52
43
45
95

Buah pisang mencapai tahap matang apabila pembesaran buah berakhir.  Pisang yang mencapai peringkat matang akan masak dengan sempurna. Bagi menentukan kematangan buah, beberapa panduan digunakan seperti saiz dan rupa bentuk jejari buah, warna kulit, rupa warna benang sari yang tertinggal atau umur buah selepas pengeluaran jantung.

Buah pisang yang mencapai peringkat matang mempunyai jejari yang kurang segi, berbentuk hampir bulat dan padat, dibandingkan jejari buah muda bersaiz kecil dan masih bersegi-segi.  Pada hujung jejari buah matang, benang sari berwarna perang dan rapuh serta mudah tertanggal tetapi benang sari buah muda berwarna hijau.  Buah matang tua berwarna hijau kecerahan berbanding dengan buah matang muda yang berwarna masih hijau pekat.  Penuaian buah yang cukup matang biasa juga dihitung bilangan hari dari mula pengeluaran jantung.

Penuaian pisang, juga disebut sebagai 'menebang', iaitu dilakukan dengan menakik batang pohon pada ketinggian beberapa kaki di bawah tangkai tandan.  Tandan buah dipotong setelah batang pisang tadi patah dengan keadaan tandan tergantung.  Bagi pisang jenis besar seperti Embun dan Cavendish, dua orang pekerja diperlukan dengan seorang daripadanya menebang pokok dan seorang lagi menyambut buah.  Apabila pokok telah ditebang, buah disambut oleh salah seorang pekerja tersebut di atas bahunya yang beralaskan span.  Tangkai tandan kemudiannya dipotong.












1 ulasan: